Minggu, November 30, 2008

Umar Al-Khattab, Memimpin Perang Dari Jauh

Umar Al-Khattab menghantar pasukan perang ke negeri Parsi untuk memerangi orang-orang kafir di sana. Maka terjadilah pertempuran sengit di antara kedua-dua pasukan itu di Nahawand. Jumlah pasukan musuh sangat besar berganda-ganda dari jumlah pasukan Islam sehingga akibatnya pasukan Islam hampir kucar kacir. Ketika itu Umar Al-Khattab yang berada di Madinah sedang berkhutbah di atas mimbar. Tiba-tiba beliau berteriak kuat-kuat: "Wahai pasukan bukit! Barangsiapa yang membiarkan serigala memakan kambing adalah zalim."

Kaum muslimin yang hadir du dalam masjid menjadi hairan melihat Umar memberikan arahan perang di tengah-tengah berkhutbah dari atas mimbar pula.

Sementara di medan peperangan lain pula halnya. Pasukan kaum muslimin yang hampir putus asa, tiba-tiba mendengar suara yang membangkitkan semangat.

"Itu adalah suara Amirul Mukminin." kata mereka.

Maka mereka pun maju lagi ke medan perang dengan menggunakan strategi baru. Akhirnya atas semangat dari Umar itu, mereka berhasil mengalahkan pasukan musuh yang jumlahnya berganda-ganda. Allah telah memperdengarkan suara Umar kepada pasukan kaum muslimin sekalipun jarak antara Madinah dengan mereka dengan medan tempur beratus-ratus batu. Ada yang mengatakan bahawa wajah Umar terlihat juga di atas bukit tempat mereka bertempur.

Suatu hari terjadi gempa bumi di zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Maka Umar memuji Allah kemudian memukulkan tongkatnya ke bumi sambil berkata: "Hai bumi, diam engkau! Apakah aku tidak berlaku adil di atas permukaanmu?"

Gempa bumi berhenti serta merta dan keadaan bumi tenang semula.

Dalam hal ini Imam Haramain berkata bahawa Umar Al-Khattab itu adalah betul-betul kepala negara zahir dan batin, khalifah Allah di bumiNya dan khalifah Allah untuk isi bumi. Dia mencela bumi sebagaimana dia mencela penduduknya kerana kesalahan yang diperbuat oleh mereka.

Dipetik dari:
Ensiklopedia Para Wali

Tidak ada komentar: